Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya. Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup datang berbincang ke tempat tinggal rumah saya. Saya ingat lagi ketika itu adalah hujung minggu dan usai dari habis kerja beliau terus ke tempat saya dan kami berjumpa di cafe masjid.
En Jaafar (nama samaran) adalah merupakan cucu kesayangan atuk dan neneknya. Sejak dari kecil lagi beliau dijaga oleh atuk dan nenek. 5 tahun lepas, nenek En Jaafar telah meninggal dunia dan nenek beliau meninggalkan seorang suami dan 2 orang anak perempuan. Disebabkan tiada anak lelaki, ibu dan ayah, adik beradik nenek pun akan dapat bahagian juga.
Beliau ingat lagi peristiwa sewaktu nenek dimandikan dan dikafankan, makcik-makcik sibuk bertanyakan perihal duit nenek. Sedangkan ketika itu nenek masih belum dikebumikan lagi. Disebabkan sikap makcik-makciknya itu, malu rasanya En Jaafar berhadapan dengan jiran tetangga. Seperti tiada hari esok hendak dibincangkan hal pusaka ini.
Bukan setakat duit, periuk belanga yang ada di rumah nenek pun direbutkan. Pada hal selepas kematian, periuk belanga menjadi pusaka arwah nenek dan perlu dapatkan keizinan daripada semua waris. Waima duit RM1 yang ditinggalkan tetap menjadi pusaka arwah.
Nenek En Jaafar ada meninggalkan beberapa ekar tanah dan sekarang di uruskan oleh atuk saudara yang juga punya bahagian faraidnya. Memandangkan atuk dan nenek mempunyai anak perempuan sahaja, maka adik beradik arwah nenek juga merupakan waris yang berhak ke atas hartanya. Sehingga kini, urusan pusaka masih belum selesai lagi.
Kini datuk En Jaafar berusia 79 tahun. Walaupun usianya sudah menghampiri 80 tahun, datuk masih kuat lagi dan beliau bekerja di stesyen minyak yang berdekatan dengan kawasan perumahannya. Alasan yang diberikan oleh En Jaafar datuknya tidak boleh duduk diam. Ada sahaja yang hendak dibuatnya. Disebabkan En Jaafar cucu kesayangan datuknya, En Jaafar dan isterinya yang menjaga makan dan minum datuk.
Datuk tidak mempunyai banyak duit dan hanya cukup untuk makan pakai sahaja, namun dia mempunyai banyak tanah. Ada tanah dipajakkan di kampung dan diusahakan oleh sepupu En Jaafar. Hasil daripada pajakan tersebut, En Jaafar tidak pasti bagaimana perjanjian datuk dan sepupunya itu. Namun dia dapat tahu duit tersebut tidak diberikan kepada datuknya.
Malah makcik-makcik En Jaafar meminta supaya datuknya menjual tanah yang bernilai jutaan ringgit. Semasa hidup pun harta menjadi rebutan, apatah lagi jika sudah tiada nanti. Ada pula yang menuduh En Jaafar inginkan harta atuk sebab itulah sanggup untuk menjaga atuknya. Sedangkan atuk sendiri yang rela dan selesa untuk tinggal bersama dengan En Jaafar.
Terbaru, En Jaafar telah diberi amaran oleh makciknya andai kata atuknya meninggal dunia, En Jaafar sekeluarga perlu keluar dari rumah yang diduduki dengan sehelai sepinggang sedangkan selama berbelas tahun En Jaafar yang tolong bayar duit pinjaman rumah atuk.
Jika ikutkan hati, En Jaafar mahu sahaja berpindah ke rumah lain dan bawa sekali atuknya ke rumah baru. Namun, atuk tetap mahu tinggal di rumah yang didudukinya kerana kata atuk ada sentimental value bersama neneknya.
Anak?? Masing-masing buat hal sendiri dan apabila berjumpa, hanya bertanyakan khabar harta sahaja. Sebab itu lah setiap kali anak-anaknya hendak berjumpa, datuknya cuba mengelak daripada berjumpa dengan anak dan menantu sendiri.
Memandangkan rumah yang mereka duduki itu dibayar oleh En Jaafar, datuklah yang mencadangkan rumah miliknya itu perlu dihibahkan kepada En Jaafar. Sebenarnya En Jaafar tidak mahu pun harta yang lain, cuma dek kerana dia telah banyak mengeluarkan duit untuk bayar pinjaman rumah tersebut. Secara tidak langsung dia juga mengharapkan rumah datuknya sekarang.
Sekiranya rumah milik atuk tidak dihibahkan, selepas kematian datuknya, akan ada bahagian makcik-makcik En Jaafar dan juga atuk saudara. Sementara datuknya masih sihat dan waras, dia pun bersetuju dengan cadangan datuknya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnnya ada harta yang dirancang bagi mengelakkan persengketaan yang berpanjangan.
Begitulah, sewaktu hidup pun sudah berebut harta apatah lagi sewaktu datuknya tiada nanti.
(Disclaimer: Cerita ini berdasarkan
kisah benar, namun watak dan latar belakang diubah dari sedikit supaya tidak
mengaibkan mana-mana pihak.)