Tuesday, June 30, 2020

Bab 2.7 Tanggungjawab Pentadbir dan Pemegang Amanah

Pentadbir dan Pemegang Amanah yang dilantik oleh si mati ketika hayat atau waris yang lain perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.  Antara tanggungjawab yang perlu dijalankan adalah:

Menjelaskan segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengkebumian dan pengurusan jenazah.

Pentadbir dan pemegang amanah perlu jelaskan segala belanja pengkebumian dan pengurusan jenazah si mati.  Jika ada waris yang dahulukan duit belanja tersebut, pentadbir perlu ganti semula melainkan waris berkenaan tidak tuntut dan pentadbir tidak perlu menggantikan duit tersebut.

Melangsaikan Hutang Si mati

Pentadbir perlu melangsaikan hutang yang ditinggalkan dengan menggunakan duit pusaka.  Hutang ini termasuk hutang dengan individu, syarikat mahu pun berhutang dengan Allah S.W.T.  Sebagai contoh hutang fidyah dan apa-apa bentuk zakat yang tertunggak.

Memungut Hutang Si Mati

Pentadbir dan Pemegang Amanah perlulah  memungut hutang-hutang yang masih belum dibayar ketika hayat si mati.  Hutang-hutang yang dipungut hendaklah dikumpulkan dengan harta pusaka yang lain dan ditadbirkan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum Syarak.

Mengumpulkan Harta Pusaka

Dengan kerjasama dari waris-waris si mati, Pentadbir dan Pemegang Amanah hendaklah mengambil tanggungjawab untuk mengumpulkan kesemua harta pusaka dengan senaraikan harta yang ditinggalkan dan kumpulkan dokumen seperti geran atau perjanjian jual beli hartanah, sijil saham dan lain-lain lagi.

Bertanggungjawab menjaga harta pusaka yang berbentuk amanah

Pemegang Amanah boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan takaful untuk hartanah yang ditinggalkan dari risiko seperti kerosakan, kebakaran atau kemusnahan. Kos untuk langganan perlindungan takaful ini hendaklah ditolak dari harta pusaka si mati.

Bertanggungjawab mengagihkan harta kepada waris yang tidak dapat hadir

Sekiranya terdapat waris yang tidak dapat dikesan ketika pembahagian harta pusaka dibuat, maka Pentadbir dan Pemegang Amanah hendaklah memegang harta secara amanah mengikut jumlah bahagian faraid sehingga waris berkenaan hadir membuat tuntutan dari Pentadbir dan Pemegang Amanah.   

Jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh masa yang di fikirkan sesuai, Pentadbir dan Pemegang Amanah boleh menguruskan bahagian tersebut mengikut peruntukan undang-undang yang tertakluk ke atasnya.  Segala perbelanjaan boleh ditolak dari bahagian waris tersebut.

Pentadbiran Harta Pusaka

Pentadbir bertanggungjawab untuk uruskan harta pusaka si mati sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi dan Pentadbir perlu jelaskan kos pengurusan pusaka.  Apabila aset telah dicairkan, kos tadi ditolak dari pusaka si mati terlebih dahulu dan baru pembahagian di buat mengikut hukum faraid.

 


No comments:

Post a Comment

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...