Friday, June 26, 2020

Bab 4.8 Hibah Takaful Boleh selesaikan Pusaka?

"Puan, ada yang kata jika saya ambil hibah takaful boleh selesaikan Pusaka?"
Adakah ini sekadar Persepsi sahaja ATAU Realiti?

Sepanjang pengalaman saya sebagai Perunding Perwarisan Harta Pusaka ini, apabila bertanya kepada orang awam:
"Sudah membuat perancangan harta seperti Hibah?" Jawapan yang diberikan adalah YA.

Bila ditanya lagi,
"Hibahkan harta apa ya?" Jawapan yang diberikan adalah HIBAH TAKAFUL.
Hibah merupakan instrument pengagihan manfaat Takaful. Ianya bukan lah satu produk Takaful itu sendiri. Hibah Takaful juga adalah hak mutlak penerima. Sekiranya penerima tidak melaksanakan hasrat si mati sekali pun, ianya tidak menyalahi undang-undang.

Dakwaan menyatakan Hibah Takaful boleh selesaikan Pusaka adalah tidak TEPAT sama sekali. KENAPA?

  • Takaful adalah pelan perlindungan dan saling membantu dalam kalangan para pesertanya sekiranya berlaku musibah.
  • Musibah adalah hilang upaya atau cacat kekal atau pun kematian. Jika berlaku hilang upaya dulu, duit pampasan tadi akan diberikan terus kepada pemegang polisi. Jika ada tuntutan harta selepas kematian, adakah hasrat untuk bayar tuntutan pusaka bahagian waris faraid lain akan tercapai? Sudah tentu duit pampasan tadi telah digunakan untuk kelangsungan hidup pemegang polisi.
  • Sekiranya berlakunya polisi Takaful 'lapse', adakah manfaat takaful ini dapat diteruskan? Kebiasaannya apabila polisi 'lapse', jarang sekali pemegang polisi hendak teruskan langganan takaful. Oleh itu, adakah hasrat untuk selesaikan harta pusaka dapat dibuat?
  • Manfaat Takaful yang diterima oleh waris boleh membantu urusan Pusaka, namun begitu ianya masih belum dapat selesaikan urusan pusaka sepenuhnya. Sebagai contoh sebuah rumah, rumah merupakan harta yang paling sensitif dalam sesebuah keluarga. Mungkin itu je lah satu-satunya rumah yang ada dan juga banyak kenangan yang ada bersama pasangan. Hendak dijual sayang pula. Mungkin sekarang kita beli rumah dengan harga RM200,000 tapi adakah 20 tahun akan datang harga rumah masih sama? Mungkin nilai rumah meningkat menjadi RM700,000. Pada asalnya polisi takaful yang di ambil hanyalah RM200,000 sahaja. Jika si mati ada meninggalkan ayah dan ibu, adakah mencukupi untuk bayar wang yang dituntut oleh waris yang ada? Sedangkan dari segi hukum faraid, semua waris berhak ke atas harta pusaka.
  • Bagaimana pula manfaat takaful ini digunakan untuk jelaskan fi pengurusan pusaka? Penerima Hibah boleh sahaja menolak untuk tidak bayar fi pengurusan pusaka atau pun tidak langsaikan hutang si mati.

HIBAH HARTA adalah pemberian kita semasa hidup dengan kasih sayang tanpa mengharapkan balasan. Jika hibah yang diberikan cukup rukun dan syaratnya, ia akan memudahkan proses pembahagian harta apabila kita sudah tiada nanti. Contoh pemilik harta hendak buat hibah adalah Rumah kerana:
  • Rumah adalah harta yang mempunyai NILAI yang tinggi. Tidak mustahil ada waris yang TIDAK MAHU melepaskan hak mereka.
  • Pengamanahan kepada orang yang dipercayai juga amat penting terutama sekali jika ada anak-anak bawah umur.
  • Sebaiknya selamatkan harta yang ada ditangan. Rumah adalah tempat isteri dan anak-anak untuk berteduh. Mungkin lebih dari itu kerana ia melambangkan kasih sayang sebuah keluarga. Jika rumah hendak dipecahkan mengikut bahagian waris yang lain, ianya agak sukar juga. Ini kerana sifat aset tersebut yang tidak mudah dicairkan. Sepatutnya harta yang ditinggalkan menjadi barakah tetapi menyusahkan waris pula.
Sebenarnya kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza dan ianya menjadi satu keperluan dalam sesebuah keluarga. Jika ditanya yang mana satu perlu di ambil dulu, pastikan anda faham dan tahu siapa faraid masing-masing, sumber kewangan yang ada dan yang paling penting perlu tahu risiko dan priority masing-masing. Setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza. Jika mampu, boleh buat untuk kedua-duanya.

Ada yang masih keliru lagi?

No comments:

Post a Comment

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...