Wednesday, July 1, 2020

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup datang berbincang ke tempat tinggal rumah saya.  Saya ingat lagi ketika itu adalah hujung minggu dan usai dari habis kerja beliau terus ke tempat saya dan kami berjumpa di cafe masjid.  

En Jaafar (nama samaran) adalah merupakan cucu kesayangan atuk dan neneknya.  Sejak dari kecil lagi beliau dijaga oleh atuk dan nenek.  5 tahun lepas, nenek En Jaafar telah meninggal dunia dan nenek beliau meninggalkan seorang suami dan 2 orang anak perempuan.  Disebabkan tiada anak lelaki, ibu dan ayah, adik beradik nenek pun akan dapat bahagian juga.

Beliau ingat lagi peristiwa sewaktu nenek dimandikan dan dikafankan, makcik-makcik sibuk bertanyakan perihal duit nenek. Sedangkan ketika itu nenek masih belum dikebumikan lagi.  Disebabkan sikap makcik-makciknya itu, malu rasanya En Jaafar berhadapan dengan jiran tetangga.  Seperti tiada hari esok hendak dibincangkan hal pusaka ini.

Bukan setakat duit, periuk belanga yang ada di rumah nenek pun direbutkan. Pada hal selepas kematian, periuk belanga menjadi pusaka arwah nenek dan perlu dapatkan keizinan daripada semua waris. Waima duit RM1 yang ditinggalkan tetap menjadi pusaka arwah.

Nenek En Jaafar ada meninggalkan beberapa ekar tanah dan sekarang di uruskan oleh atuk saudara yang juga punya bahagian faraidnya. Memandangkan atuk dan nenek mempunyai anak perempuan sahaja, maka adik beradik arwah nenek juga merupakan waris yang berhak ke atas hartanya.  Sehingga kini, urusan pusaka masih belum selesai lagi.

Kini datuk En Jaafar berusia 79 tahun. Walaupun usianya sudah menghampiri 80 tahun, datuk masih kuat lagi dan beliau bekerja di stesyen minyak yang berdekatan dengan kawasan perumahannya.  Alasan yang diberikan oleh En Jaafar datuknya tidak boleh duduk diam.  Ada sahaja yang hendak dibuatnya.  Disebabkan En Jaafar cucu kesayangan datuknya, En Jaafar dan isterinya yang menjaga makan dan minum datuk.

Datuk tidak mempunyai banyak duit dan hanya cukup untuk makan pakai sahaja, namun dia mempunyai banyak tanah. Ada tanah dipajakkan di kampung dan diusahakan oleh sepupu En Jaafar.  Hasil daripada pajakan tersebut, En Jaafar tidak pasti bagaimana perjanjian datuk dan sepupunya itu.  Namun dia dapat tahu duit tersebut tidak diberikan kepada datuknya.

Malah makcik-makcik En Jaafar meminta supaya datuknya menjual tanah yang bernilai jutaan ringgit.  Semasa hidup pun harta menjadi rebutan, apatah lagi jika sudah tiada nanti.  Ada pula yang menuduh En Jaafar inginkan harta atuk sebab itulah sanggup untuk menjaga atuknya.  Sedangkan atuk sendiri yang rela  dan selesa untuk tinggal bersama dengan En Jaafar.

Terbaru, En Jaafar telah diberi amaran oleh makciknya andai kata atuknya meninggal dunia, En Jaafar sekeluarga perlu keluar dari rumah yang diduduki dengan sehelai sepinggang sedangkan selama berbelas tahun En Jaafar yang tolong bayar duit pinjaman rumah atuk.

Jika ikutkan hati, En Jaafar mahu sahaja berpindah ke rumah lain dan bawa sekali atuknya ke rumah baru. Namun, atuk tetap mahu tinggal di rumah yang didudukinya kerana kata atuk ada sentimental value bersama neneknya.

Anak?? Masing-masing buat hal sendiri dan apabila berjumpa, hanya bertanyakan khabar harta sahaja.  Sebab itu lah setiap kali anak-anaknya hendak berjumpa, datuknya cuba mengelak daripada berjumpa dengan anak dan menantu sendiri.

Memandangkan rumah yang mereka duduki itu dibayar oleh En Jaafar, datuklah yang mencadangkan rumah miliknya itu perlu dihibahkan kepada En Jaafar.  Sebenarnya En Jaafar tidak mahu pun harta yang lain, cuma dek kerana dia telah banyak mengeluarkan duit untuk bayar pinjaman rumah tersebut.   Secara tidak langsung dia juga mengharapkan rumah datuknya sekarang.

Sekiranya rumah milik atuk tidak dihibahkan, selepas kematian datuknya, akan ada bahagian makcik-makcik En Jaafar dan juga atuk saudara.  Sementara datuknya masih sihat dan waras, dia pun bersetuju dengan cadangan datuknya.  Alhamdulillah, sekurang-kurangnnya ada harta yang dirancang bagi mengelakkan persengketaan yang berpanjangan.

Begitulah, sewaktu hidup pun sudah berebut harta apatah lagi sewaktu datuknya tiada nanti.


(Disclaimer: Cerita ini berdasarkan kisah benar, namun watak dan latar belakang diubah dari sedikit supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak.)

 


Bab 2.8 Pentadbir Pusaka Tak Amanah?

Sebagai seorang pentadbir yang dilantik oleh waris untuk membantu dalam urusan pusaka si mati, mereka hendaklah mempunyai sikap yang bertanggungjawab dan amanah dalam menjalankan tugasnya sebagai wakil urus pusaka.  

Sebaiknya lantik pentadbir yang tahu tentang hukum faraid, seorang yang amanah, sihat tubuh badan, tahu serba sedikit tentang hal pusaka dan ada kemampuan untuk dahulukan duitnya untuk bayar fi pengurusan pusaka.  Ini akan memudahkan urusan pusaka dari berlakunya kesilapan dan akan melambatkan proses tuntutan. 

Dapat Pentadbir yang bagus adalah suatu rahmat buat waris-waris si mati.  Biasanya pentadbir yang dilantik adalah waris terdekat.  Namun begitu, amat menyedihkan jika orang yang diharapkan tidak berlaku jujur serta tidak amanah dalam membahagikan harta kepada waris-waris yang berhak.

Kisah seorang isteri telah menamakan suaminya sebagai penerima dan yang akan mentadbir wang KWSP dan simpanan Tabung Haji apabila isteri meninggal dunia.  Niat si isteri meletakkan nama suami sebagai penama adalah untuk memudahkan urusan dan mengurangkan kesulitan semasa pengeluaran, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.  Anak-anak dari pasangan ini tidak terima satu sen pun dari simpanan arwah ibunya.  Walaupun telah dimaklumkan kepada ayahnya, tetapi tidak diendahkan pula.  Sedangkan ketika itu anak-anak sudah berusia 20 tahun ke atas.  Apa yang dirasakan oleh anak-anak umpama bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Walau atas alasan apa sekalipun, si ayah perlu berterus terang kepada anak-anaknya.  Ini bagi mengelakkan daripada timbul perasaan tidak berpuas hati dengan tindakan ayah mereka.  Sebaiknya elakkan daripada timbulnya perbalahan sesama keluarga dan boleh menyebabkan anak-anak berdendam terhadap orang tuanya.  Ketahuilah bahawa apabila tiada keredhaan di hati waris-waris lain, harta yang di ambil tadi akan menjadi sumber yang haram.





Tuesday, June 30, 2020

Bab 2.7 Tanggungjawab Pentadbir dan Pemegang Amanah

Pentadbir dan Pemegang Amanah yang dilantik oleh si mati ketika hayat atau waris yang lain perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.  Antara tanggungjawab yang perlu dijalankan adalah:

Menjelaskan segala perbelanjaan yang berkaitan dengan pengkebumian dan pengurusan jenazah.

Pentadbir dan pemegang amanah perlu jelaskan segala belanja pengkebumian dan pengurusan jenazah si mati.  Jika ada waris yang dahulukan duit belanja tersebut, pentadbir perlu ganti semula melainkan waris berkenaan tidak tuntut dan pentadbir tidak perlu menggantikan duit tersebut.

Melangsaikan Hutang Si mati

Pentadbir perlu melangsaikan hutang yang ditinggalkan dengan menggunakan duit pusaka.  Hutang ini termasuk hutang dengan individu, syarikat mahu pun berhutang dengan Allah S.W.T.  Sebagai contoh hutang fidyah dan apa-apa bentuk zakat yang tertunggak.

Memungut Hutang Si Mati

Pentadbir dan Pemegang Amanah perlulah  memungut hutang-hutang yang masih belum dibayar ketika hayat si mati.  Hutang-hutang yang dipungut hendaklah dikumpulkan dengan harta pusaka yang lain dan ditadbirkan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum Syarak.

Mengumpulkan Harta Pusaka

Dengan kerjasama dari waris-waris si mati, Pentadbir dan Pemegang Amanah hendaklah mengambil tanggungjawab untuk mengumpulkan kesemua harta pusaka dengan senaraikan harta yang ditinggalkan dan kumpulkan dokumen seperti geran atau perjanjian jual beli hartanah, sijil saham dan lain-lain lagi.

Bertanggungjawab menjaga harta pusaka yang berbentuk amanah

Pemegang Amanah boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan takaful untuk hartanah yang ditinggalkan dari risiko seperti kerosakan, kebakaran atau kemusnahan. Kos untuk langganan perlindungan takaful ini hendaklah ditolak dari harta pusaka si mati.

Bertanggungjawab mengagihkan harta kepada waris yang tidak dapat hadir

Sekiranya terdapat waris yang tidak dapat dikesan ketika pembahagian harta pusaka dibuat, maka Pentadbir dan Pemegang Amanah hendaklah memegang harta secara amanah mengikut jumlah bahagian faraid sehingga waris berkenaan hadir membuat tuntutan dari Pentadbir dan Pemegang Amanah.   

Jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh masa yang di fikirkan sesuai, Pentadbir dan Pemegang Amanah boleh menguruskan bahagian tersebut mengikut peruntukan undang-undang yang tertakluk ke atasnya.  Segala perbelanjaan boleh ditolak dari bahagian waris tersebut.

Pentadbiran Harta Pusaka

Pentadbir bertanggungjawab untuk uruskan harta pusaka si mati sama ada di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi dan Pentadbir perlu jelaskan kos pengurusan pusaka.  Apabila aset telah dicairkan, kos tadi ditolak dari pusaka si mati terlebih dahulu dan baru pembahagian di buat mengikut hukum faraid.

 


Bab 2.6 Perbezaan Kematian ada Pentadbir Atau Tiada Pentadbir

Pemilik Harta Melantik Pentadbir ketika Hidup

Pemilik Harta Tidak Melantik Pentadbir ketika Hidup

 

1.Waris-waris tahu siapa Pentadbir yang diamanahkan untuk uruskan pusaka si mati.

 

1.Waris-waris tidak tahu siapakah Pentadbir yang akan uruskan harta si mati. Boleh menyebabkan tertangguh urusan pusaka disebabkan lambat untuk melantik Pentadbir.

 

2.Dokumen Perlantikan Pentadbir ada memperincikan tugas sebagai Pentadbir yang perlu dilaksanakan dan Pentadbir ini akan memastikan semua waris mendapat bahagian/ hak yang sewajarnya.

 

2. Tiada penjelasan tentang tanggungjawab yang perlu dibuat oleh Pentadbir. Berkemungkinan Pentadbir yang akan dilantik tidak tahu tentang faraid dan hal pusaka. Ini akan menyebabkan pembahagian harta tidak dapat dibuat dengan sebaiknya.

 

3. Memudahkan urusan tuntutan pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil

 

3. Menyukarkan proses tuntutan dan perlu menyediakan 2 orang penjamin yang mempunyai nilai harta yang sama dengan si mati.

Selain daripada untuk bantu dalam urus pusaka si mati, perlantikan pentadbir atau wasi sangat penting bagi tujuan penjaga harta bagi anak-anak bawah umur dan mempunyai waris yang kurang upaya.  Ibu dan bapa sahaja lah yang boleh menilai atau tahu siapakah waris terdekat yang paling layak atau dipercayai untuk diamanahkan menjaga harta dan kebajikan anak-anak.  Sekiranya ada pasangan yang meninggal dunia secara serentak, sekurang-kurangnya ada orang yang diamanahkan untuk menjaga anak-anak ini.


Bab 2.5 Secara Ringkas Proses di Mahkamah Tinggi Sivil

Kebiasaanya tuntutan pusaka yang di buat di Mahkamah Tinggi adalah harta alih dan tak alih melebihi daripada RM2 juta.  Ianya merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97).  Secara asasnya, waris perlu melantik peguam dari syarikat guaman untuk failkan tuntutan pusaka si mati.

Dokumen sokongan yang perlu dilampirkan adalah sijil kematian, senarai aset dan liabiliti yang ada, senarai waris, wasiat terakhir (jika ada), surat penolakan penolakan waris-waris yang ingin menolak hak dan juga dokumen pelantikan pejaga untuk anak-anak bawah umur dan kurang upaya.  Bagi senarai waris, wasi yang dilantik perlu telus dan tahu siapakah waris-waris yang ada.  Ianya bukan sekadar hanya waris yang terdekat, malah perlu tahu juga sekiranya ada waris berlapis.  Pentingnya wasi yang amanah dan tahu struktur faraid si mati supaya dapat elak dari kesilapan semasa membuat perfailan senarai waris yang ada.

Secara ringkas proses di Mahkamah Tinggi Sivil terbahagi kepada 2 iaitu:

1. Si Mati Meninggalkan Wasiat Pentadbiran.
  • Wasiat pentadbiran adalah perlantikan Wasi yang telah dibuat semasa hidup.  Sekiranya wasiat tersebut adalah sah dari segi undang-undang, pihak Mahkamah akan keluarkan Surat Probet.  Surat Probet ini akan dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh pihak Mahkamah telah lengkap.  Kemudian Perintah Pembahagian dikeluarkan untuk harta tak alih dan surat tersebut perlu dibawa ke Pejabat Tanah agar nama pentadbir dapat didaftarkan sebagai orang yang uruskan harta si mati.
2. Si Mati Tidak Meninggalkan Wasiat Pentadbiran.
  • Sekiranya si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat semasa hidup, segala dokumen seperti yang di atas perlu disediakan dan yang membezakan adalah perlu ada permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.  Pemohon juga perlu menyediakan 2 orang penjamin yang sama nilai harta si mati.  Sekiranya pemohon tidak dapat 2 orang penjamin yang sesuai, pemohon bolehlah memohon di Mahkamah untuk pengecualian 2 orang penjamin.  Namun begitu, sudah pasti ada kos yang perlu dibayar untuk permohonan ini.  Surat mentadbir akan dikeluarkan setelah perintah permohonan pengecualian penjamin dikeluarkan.  Proses ini lebih panjang sedikit dan akan ambil masa. 

Tinta Pengarang

Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada pembaca yang sudi membaca ebook ini.  Puji dan Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya saya dapat menyiapkan ebook pertama saya.  Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada suami dan anak-anak saya kerana memahami saya dan menjadi pemangkin untuk saya terus berjuang dalam perwarisan harta Islam.  Selain daripada itu, ucapan terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad kerana telah membimbing saya dalam menghasilkan ebook pertama. 

Ebook pertama ini adalah perkongsian saya dalam ilmu perwarisan harta Islam.  Penulisan yang santai dan tidak terlalu teknikal untuk orang awam dan sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak memahami secara asas bagaimana harta pusaka hendak diurus dan pentingnya harta sedia ada perlu dirancang semasa hidup lagi.  Penjelasan tentang kekeliruan dan salah faham masyarakat tentang harta pusaka telah dikupas agar lebih ramai orang faham dan cakna tentang harta yang akan ditinggalkan. Ada juga yang ditulis dalam bentuk penceritaan, dialog dan kisah benar bagaimana waris menghadapi cabaran semasa tuntutan pusaka dijalankan.  

Ketika penulisan ini ditulis, kita banyak dihidangkan di media sosial dengan pelbagai kemelut antara keluarga mentua buang menantu, adik beradik rebut harta, adik ipar masuk campur dalam urusan harta pusaka yang ditinggalkan.  Isteri pula terpaksa menyara anak-anak sendirian, sedangkan ada waris lain yang perlu laksanakan tanggungjawab mereka dalam membantu waris yang ditinggalkan.  Lebih malang lagi ada waris yang hidup merempat dan terpaksa menanggung hutang si mati.

Melihat kepada senario ini, secara umumnya ada dikalangan umat Islam di Malaysia tahu cara mengumpul harta tetapi tidak tahu bagaimana hendak merancang harta.  Sedangkan harta yang dirancang dengan baik dapat diwarisi oleh generasi akan datang.  Malah ada juga stigma dikalangan masyarakat kita merasakan harta tidak banyak dan tidak perlu untuk merancang.  Sebenarnya ianya bukanlah berapa banyak harta yang ada, tetapi rancang harta semasa hidup dapat mudahkan proses tuntutan pusaka selepas ketiadaan kita nanti. 

Menurut rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JLPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), sebahagian besar harta yang beku adalah dalam bentuk hartanah dan wang.  Sikap yang suka bertangguh dan kurang kesedaran tentang perwarisan harta inilah menyebabkan harta pusaka tidak dapat diwarisi oleh waris yang berhak dan menyebabkan ada ahli keluarga berbalah sesama sendiri dan terputusnya silaturrahim. 

Mengapa kita perlu mengambil risiko untuk keluarga kita sendiri, sedangkan kita mampu untuk ubahnya. Kita merancang dan Allah juga merancang untuk kita. Dengan sedikit usaha yang kita buat sekarang, kita berserah dan doa sahaja yang baik-baik.  Mudah-mudahan niat yang baik dan usaha kita itu mendapat redha dariNya.  Harta yang dapat dimanfaatkan akan menjadi ladang pahala yang berpanjangan buat si mati di alam sana.  Pilihan di tangan anda dan bertindak segera sebelum terlambat.  Rancanglah harta kerana anda sayang keluarga anda.

 

Salam Sayang,

Eko Salina Kasman

6.00 pm, 30 Jun 2020.


Saturday, June 27, 2020

Bab 5.1 Apa Itu Faraid?

Sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Kerana sesungguhnya ia (ilmu faraid) adalah sebahagian daripada ilmu yang banyak.  Tetapi, malangnya ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku!” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mengapa kita perlu tahu tentang Ilmu Faraid?

Menurut istilah syara' faraid adalah pembahagian harta seseorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.  Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, ayah dan lain-lain)

Rukun Faraid

  • Ada yang Mati - Ianya terpakai apabila individu Islam meninggal dunia.  
  • Ada Harta - Individu yang meninggal dunia mestilah meninggalkan harta. Sekiranya tiada harta, kiraan faraid tidak dapat dibuat dan tiada apa yang boleh dibahagikan.
  • Ada Waris - Faraid ini hanya terpakai sekiranya mempunyai waris sahaja.

 

Persoalannya, berapa ramai di antara kita yang benar-benar tahu siapa waris faraid dan bagaimana pula cara pengiraan pembahagian faraid.

Berikut adalah contoh pengiraan Faraid secara ringkas untuk pemahaman pembaca.

Contoh: Seorang suami meninggalkan:

  1. 1 orang Isteri
  2. Ibu
  3. Bapa
  4. 1 orang Anak lelaki
  5. 1 orang Anak perempuan.

Cara pengiraan adalah seperti berikut:

Jadual 1: Contoh Pengiraan Faraid

Waris

Bil

Bahagian Asal

Bahagian Akhir Setiap Waris

Isteri

1

1/8

9/72

Ibu

1

1/6

12/72

Ayah

1

1/6

12/72

Anak Lelaki

1

2 Bahagian

26/72

Anak Perempuan

1

1 Bahagian

13/72

  1. Perlu mengetahui bahagian masing-masing. Bahagian Isteri, Ibu dan Ayah adalah tetap pada kadar  1/8, 1/6, 1/6 bahagian masing-masing.
  2. Untuk menentukan bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan, pengiraan adalah seperti berikut:

a.    Kira baki jumlah bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan

                            1 - 1/8 - 1/6 - 1/6 = 13/24


b.  Jumlah 1 bahagian Anak Lelaki adalah bersamaan 2 bahagian Anak Perempuan. Jadi jumlah 13/24 perlu dibahagi kepada 3 bahagian untuk mendapatkan 1 bahagian Anak Perempuan, seperti berikut:

                        ( 13/24 bahagi 3 ) = 13/24 x 1/3 = 13/72


c.    1 bahagian Anak Lelaki adalah seperti berikut:

                        13/72 x 2 = 26/72 


Jadual 1 dilengkapkan dengan mendapatkan pecahan setara bagi bahagian isteri, ibu, ayah  dan anak-anak dengan pembawah adalah 72.


Setiap diri kita mempunyai struktur faraid yang berbeza bergantung kepada waris-waris yang masih hidup selepas pemergian kita nanti. Namun, secara asasnya, pengiraan faraid yang dikongsikan boleh diaplikasikan dalam membuat pengiraan faraid masing-masing.



Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...