Saturday, June 27, 2020

Bab 5.1 Apa Itu Faraid?

Sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Kerana sesungguhnya ia (ilmu faraid) adalah sebahagian daripada ilmu yang banyak.  Tetapi, malangnya ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku!” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mengapa kita perlu tahu tentang Ilmu Faraid?

Menurut istilah syara' faraid adalah pembahagian harta seseorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya.  Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu, ayah dan lain-lain)

Rukun Faraid

  • Ada yang Mati - Ianya terpakai apabila individu Islam meninggal dunia.  
  • Ada Harta - Individu yang meninggal dunia mestilah meninggalkan harta. Sekiranya tiada harta, kiraan faraid tidak dapat dibuat dan tiada apa yang boleh dibahagikan.
  • Ada Waris - Faraid ini hanya terpakai sekiranya mempunyai waris sahaja.

 

Persoalannya, berapa ramai di antara kita yang benar-benar tahu siapa waris faraid dan bagaimana pula cara pengiraan pembahagian faraid.

Berikut adalah contoh pengiraan Faraid secara ringkas untuk pemahaman pembaca.

Contoh: Seorang suami meninggalkan:

  1. 1 orang Isteri
  2. Ibu
  3. Bapa
  4. 1 orang Anak lelaki
  5. 1 orang Anak perempuan.

Cara pengiraan adalah seperti berikut:

Jadual 1: Contoh Pengiraan Faraid

Waris

Bil

Bahagian Asal

Bahagian Akhir Setiap Waris

Isteri

1

1/8

9/72

Ibu

1

1/6

12/72

Ayah

1

1/6

12/72

Anak Lelaki

1

2 Bahagian

26/72

Anak Perempuan

1

1 Bahagian

13/72

  1. Perlu mengetahui bahagian masing-masing. Bahagian Isteri, Ibu dan Ayah adalah tetap pada kadar  1/8, 1/6, 1/6 bahagian masing-masing.
  2. Untuk menentukan bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan, pengiraan adalah seperti berikut:

a.    Kira baki jumlah bahagian Anak Lelaki dan Anak Perempuan

                            1 - 1/8 - 1/6 - 1/6 = 13/24


b.  Jumlah 1 bahagian Anak Lelaki adalah bersamaan 2 bahagian Anak Perempuan. Jadi jumlah 13/24 perlu dibahagi kepada 3 bahagian untuk mendapatkan 1 bahagian Anak Perempuan, seperti berikut:

                        ( 13/24 bahagi 3 ) = 13/24 x 1/3 = 13/72


c.    1 bahagian Anak Lelaki adalah seperti berikut:

                        13/72 x 2 = 26/72 


Jadual 1 dilengkapkan dengan mendapatkan pecahan setara bagi bahagian isteri, ibu, ayah  dan anak-anak dengan pembawah adalah 72.


Setiap diri kita mempunyai struktur faraid yang berbeza bergantung kepada waris-waris yang masih hidup selepas pemergian kita nanti. Namun, secara asasnya, pengiraan faraid yang dikongsikan boleh diaplikasikan dalam membuat pengiraan faraid masing-masing.



No comments:

Post a Comment

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...