Tuesday, June 30, 2020

Tinta Pengarang

Assalamualaikum dan Salam sejahtera kepada pembaca yang sudi membaca ebook ini.  Puji dan Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya saya dapat menyiapkan ebook pertama saya.  Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada suami dan anak-anak saya kerana memahami saya dan menjadi pemangkin untuk saya terus berjuang dalam perwarisan harta Islam.  Selain daripada itu, ucapan terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad kerana telah membimbing saya dalam menghasilkan ebook pertama. 

Ebook pertama ini adalah perkongsian saya dalam ilmu perwarisan harta Islam.  Penulisan yang santai dan tidak terlalu teknikal untuk orang awam dan sangat sesuai bagi mereka yang baru hendak memahami secara asas bagaimana harta pusaka hendak diurus dan pentingnya harta sedia ada perlu dirancang semasa hidup lagi.  Penjelasan tentang kekeliruan dan salah faham masyarakat tentang harta pusaka telah dikupas agar lebih ramai orang faham dan cakna tentang harta yang akan ditinggalkan. Ada juga yang ditulis dalam bentuk penceritaan, dialog dan kisah benar bagaimana waris menghadapi cabaran semasa tuntutan pusaka dijalankan.  

Ketika penulisan ini ditulis, kita banyak dihidangkan di media sosial dengan pelbagai kemelut antara keluarga mentua buang menantu, adik beradik rebut harta, adik ipar masuk campur dalam urusan harta pusaka yang ditinggalkan.  Isteri pula terpaksa menyara anak-anak sendirian, sedangkan ada waris lain yang perlu laksanakan tanggungjawab mereka dalam membantu waris yang ditinggalkan.  Lebih malang lagi ada waris yang hidup merempat dan terpaksa menanggung hutang si mati.

Melihat kepada senario ini, secara umumnya ada dikalangan umat Islam di Malaysia tahu cara mengumpul harta tetapi tidak tahu bagaimana hendak merancang harta.  Sedangkan harta yang dirancang dengan baik dapat diwarisi oleh generasi akan datang.  Malah ada juga stigma dikalangan masyarakat kita merasakan harta tidak banyak dan tidak perlu untuk merancang.  Sebenarnya ianya bukanlah berapa banyak harta yang ada, tetapi rancang harta semasa hidup dapat mudahkan proses tuntutan pusaka selepas ketiadaan kita nanti. 

Menurut rekod Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JLPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP), sebahagian besar harta yang beku adalah dalam bentuk hartanah dan wang.  Sikap yang suka bertangguh dan kurang kesedaran tentang perwarisan harta inilah menyebabkan harta pusaka tidak dapat diwarisi oleh waris yang berhak dan menyebabkan ada ahli keluarga berbalah sesama sendiri dan terputusnya silaturrahim. 

Mengapa kita perlu mengambil risiko untuk keluarga kita sendiri, sedangkan kita mampu untuk ubahnya. Kita merancang dan Allah juga merancang untuk kita. Dengan sedikit usaha yang kita buat sekarang, kita berserah dan doa sahaja yang baik-baik.  Mudah-mudahan niat yang baik dan usaha kita itu mendapat redha dariNya.  Harta yang dapat dimanfaatkan akan menjadi ladang pahala yang berpanjangan buat si mati di alam sana.  Pilihan di tangan anda dan bertindak segera sebelum terlambat.  Rancanglah harta kerana anda sayang keluarga anda.

 

Salam Sayang,

Eko Salina Kasman

6.00 pm, 30 Jun 2020.


No comments:

Post a Comment

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...