Tuesday, June 30, 2020

Bab 2.5 Secara Ringkas Proses di Mahkamah Tinggi Sivil

Kebiasaanya tuntutan pusaka yang di buat di Mahkamah Tinggi adalah harta alih dan tak alih melebihi daripada RM2 juta.  Ianya merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97).  Secara asasnya, waris perlu melantik peguam dari syarikat guaman untuk failkan tuntutan pusaka si mati.

Dokumen sokongan yang perlu dilampirkan adalah sijil kematian, senarai aset dan liabiliti yang ada, senarai waris, wasiat terakhir (jika ada), surat penolakan penolakan waris-waris yang ingin menolak hak dan juga dokumen pelantikan pejaga untuk anak-anak bawah umur dan kurang upaya.  Bagi senarai waris, wasi yang dilantik perlu telus dan tahu siapakah waris-waris yang ada.  Ianya bukan sekadar hanya waris yang terdekat, malah perlu tahu juga sekiranya ada waris berlapis.  Pentingnya wasi yang amanah dan tahu struktur faraid si mati supaya dapat elak dari kesilapan semasa membuat perfailan senarai waris yang ada.

Secara ringkas proses di Mahkamah Tinggi Sivil terbahagi kepada 2 iaitu:

1. Si Mati Meninggalkan Wasiat Pentadbiran.
  • Wasiat pentadbiran adalah perlantikan Wasi yang telah dibuat semasa hidup.  Sekiranya wasiat tersebut adalah sah dari segi undang-undang, pihak Mahkamah akan keluarkan Surat Probet.  Surat Probet ini akan dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh pihak Mahkamah telah lengkap.  Kemudian Perintah Pembahagian dikeluarkan untuk harta tak alih dan surat tersebut perlu dibawa ke Pejabat Tanah agar nama pentadbir dapat didaftarkan sebagai orang yang uruskan harta si mati.
2. Si Mati Tidak Meninggalkan Wasiat Pentadbiran.
  • Sekiranya si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat semasa hidup, segala dokumen seperti yang di atas perlu disediakan dan yang membezakan adalah perlu ada permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat.  Pemohon juga perlu menyediakan 2 orang penjamin yang sama nilai harta si mati.  Sekiranya pemohon tidak dapat 2 orang penjamin yang sesuai, pemohon bolehlah memohon di Mahkamah untuk pengecualian 2 orang penjamin.  Namun begitu, sudah pasti ada kos yang perlu dibayar untuk permohonan ini.  Surat mentadbir akan dikeluarkan setelah perintah permohonan pengecualian penjamin dikeluarkan.  Proses ini lebih panjang sedikit dan akan ambil masa. 

No comments:

Post a Comment

Bab 1.5 Harta Atuk Milik Siapa?

Saya didatangi oleh seorang cucu yang ingin membuat hibah rumah yang dimiliki oleh atuknya.  Jarang sekali orang yang tidak dikenali sanggup...