Masih ramai lagi yang tidak faham tentang fungsi wasiat. Ada yang beranggapan apabila menulis wasiat, bila berlakunya kematian waris akan dapat terus harta yang ditinggalkan oleh si mati. Kekeliruan dan ketidakfahaman mengenai fungsi wasiat, turut menjadi salah satu sebab berlakunya perebutan harta pusaka, walaupun wasiat telah dibuat.
Wasiat terbahagi kepada 3 iaitu Wasiat untuk amal jariah, Wasiat pesanan dan Wasiat Wasi iaitu pengamanahan.
1. Wasiat Amal Jariah
- Wasiat ini adalah terhad sehingga 1/3 daripada keseluruhan harta yang ditinggalkan oleh si mati. Ianya bertujuan untuk amal kebajikan dan pahala yang berpanjangan. Sebagai contoh, wasiat 1/3 ini di salurkan kepada rumah anak yatim, untuk kegunaan anak-anak tahfiz dan apa-apa hasrat yang telah diniatkan kepada bukan waris.
Waris wajib laksanakan wasiat ini dengan syarat waris perlu tolak perbelanjaan pengurusan jenazah dan langsaikan hutang-hutang si mati, wasiat ini dibuat sebelum pembahagian harta kepada waris-waris si mati, tidak boleh melebihi daripada 1/3 daripada harta bersih dan ianya adalah untuk bukan waris sahaja.
2. Wasiat Pesanan.
- Wasiat pesanan ini boleh berbentuk nasihat atau pun hasrat si mati. Sebagai contoh, wasiat yang berbentuk hasrat si mati;
"Ayah mewasiatkan sebidang tanah kepada Ali, satu-satunya anak lelaki ayah". Kata ayah dihadapan anak-anak perempuannya yang lain.
Apabila pewasiat meninggal dunia, ianya bergantung kepada muafakat sesama waris. Ini kerana wasiat terlaksana selepas kematian. Sekiranya ada antara waris tidak bersetuju, wasiat yang dibuat oleh arwah ayahnya akan terbatal dan pembahagian perlu dibuat mengikut hukum faraid. Sekiranya hanya seorang sahaja daripada waris yang tidak bersetuju, maka bahagiannya hendaklah dibuat mengikut faraid dan selebihnya mengikut persetujuan yang telah dibuat sebelum ini.
3. Wasiat Pengamanahan
- Wasiat ini adalah untuk melantik pentadbir atau wakil urus tadbir harta pusaka kita apabila sudah tiada nanti. Orang yang dilantik sebagai pentadbir wajib untuk menjalankan tanggungjawabnya dan perlu berlaku amanah. Antara tugas pentadbir adalah mengumpulkan harta si mati, melunaskan hutang-hutang si mati, menunaikan sedekah jika ada, membahagikan pusaka kepada waris yang berhak dan termasuklah menyampaikan nasihat atau pesanan lain daripada si mati kepada waris-waris yang ada.
Ada juga pewasiat membuat wasiat dengan syarat-syarat tertentu. Sebagai contoh,
"Selepas ibu mati nanti, rumah ini milik kamu. Dengan syarat, selepas kematian ibu, kamu mesti ceraikan isteri kamu".
Syarat yang diberikan adalah berbentuk perceraian dan ianya salah dari segi syarak. Sekiranya penerima wasiat tidak bersetuju, maka wasiat ini akan terbatal.
No comments:
Post a Comment