En Razak (nama samaran) telah meninggal dunia secara mengejut pada tahun lepas. Beliau meninggalkan seorang isteri iaitu Ramlah (nama samaran), ibu kandung (Puan Hasnah - bukan nama sebenar) dan juga 2 orang anak perempuan. Dari segi faraidnya, En Razak adalah dalam kategori golongan kritikal, maka adik beradik En Razak juga akan mendapat bahagian daripada harta yang ditinggalkan.
Selepas habis edah, Ramlah dengan rela hati menawarkan diri untuk menjadi wakil bagi urusan pusaka arwah suaminya. Niatnya tiada lain, hanyalah untuk bantu dalam mempercepatkan proses tuntutan pusaka arwah suaminya dan tidak mahu termakan harta yang bukan haknya. Suatu hari Ramlah berjumpa dengan ibu mentuanya dan ingin berbincang berkenaan dengan harta arwah suaminya.
Lantaran itu, niat Ramlah telah disalah ertikan oleh Puan Hasnah. Ibu mentuanya menganggap Ramlah seorang yang tamakkan harta anaknya dan dituduh tidak hormati si mati. Pada pandangan Puan Hasnah, terlalu awal untuk bercerita tentang harta yang ditinggalkan oleh anaknya.
Disebabkan ada perasaan sakit hati terhadap menantunya, Puan Hasnah terus tuntut bahagian faraid bagi rumah Ramlah sekarang. Pada hal rumah tersebut adalah atas nama Ramlah dan dari segi undang-undang rumah yang didiami bersama anak-anaknya adalah milik mutlak Ramlah. Puan Hasnah tiada hak untuk menuntutnya walaupun semasa hidup En Razak yang membayar pinjaman rumah tersebut. Melalui percakapan secara lisan, atas dasar kasih sayang suaminya dengan rela hati telah menamakan rumah yang di belinya atas nama Ramlah dan arwah suaminya yang bayar pinjaman rumah tersebut.
Allah itu Maha Mengetahui. Setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Ramlah berasa lega kerana Puan Hasnah tidak dapat ambil rumahnya. Namun begitu, Puan Hasnah masih tidak berpuas hati lagi. Beliau ingin tuntut pula harta sepencarian. Sedangkan harta yang dikumpul adalah harta bersama En Razak dan juga Ramlah.
Inilah antara cabaran yang perlu dilalui oleh waris-waris yang masih hidup. Ada yang tahu tentang hukum dan ada waris yang begitu jahil tentang ilmu perwarisan pusaka ini. Walaupun niat asal Ramlah baik, namun telah di salah erti dan menyebabkan proses tuntutan tertangguh. Untuk melantik pentadbir pun belum selesai, apatah lagi hendak dibahagikan harta yang ada.
Sikap Puan Hasnah ini boleh mengundang banyak masalah dan kesannya dari segi hukum mahu pun undang-undang. Antara kesannya ialah tidak dapat langsaikan hutang si mati dengan segera, dikhuatiri termakan harta anak yatim, harta terbiar dan lambat diuruskan dan akan menyulitkan proses perbicaraan pusaka nanti.
Sebaik-baiknya, selepas kematian semua waris bertanggungjawab bantu untuk selesaikan harta pusaka dengan secepat mungkin. Makin lama urusan pusaka ini tertangguh, urusan si mati di alam sana juga akan tertangguh.
(Disclaimer: Kisah ini di olah sedikit supaya tidak mengaibkan pihak yang terlibat dan cerita ini hanya untuk dijadikan panduan dan pengajaran buat kita semua).
No comments:
Post a Comment