"Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan ia kepada orang lain. kerana sesungguhnya ia (ilmu faraid) adalah sebahagian daripada ilmu yang banyak. Tetapi malangnya ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula dan dicabut daripada umatku!" (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Berdasarkan pengalaman saya sebagai Perunding Pewarisan Harta Islam, masih ramai yang tidak mengetahui siapakah waris faraid masing-masing. Kebanyakan masyarakat kita lebih ingin tahu bagaimana harta yang ditinggalkan hendak dibahagikan kepada waris-waris yang berhak. Sedangkan pembahagian harta pusaka adalah perkara yang terakhir dalam hierarki pengurusan pusaka selepas menjelaskan kos pengebumian, melangsaikan hutang si mati dan tuntutan harta sepencarian.
Memang benarlah sabda Rasullah SAW, kini ilmu faraid adalah ilmu yang semakin dilupakan oleh umat Islam. Disebabkan oleh kurangnya ilmu faraid ini, ada waris yang termakan harta yang bukan haknya. Hal pusaka ini banyak melibatkan emosi dan tanpa disedari ada hati yang terluka.
Oleh yang demikian, semasa hidup ambil tahu dan pelajari ilmu faraid ini. Kalau bukan untuk orang lain, ambil tahu untuk diri sendiri dan orang terdekat. Dengan adanya sedikit pengetahuan dalam ilmu faraid ini, sekurang-kurangnya kita dapat bagi tahu waris-waris kita berapa bahagian yang akan diperolehi apabila sudah tiada nanti. Ini secara tidak langsung dapat membantu kita dan waris-waris yang lain supaya lebih berhati-hati dari termakan harta batil.
Untuk mengetahui asas faraid para pembaca, boleh klik kalkulator faraid ini. Semoga dapat membantu para pembaca mengetahui berapa bahagian yang memang layak untuk kita dan juga waris-waris yang lain.
No comments:
Post a Comment