Harta pusaka dibahagikan kepada dua kategori iaitu Harta Pusaka Berwasiat dan Harta Pusaka Tidak Berwasiat. Sekiranya si mati ada membuat wasiat, wasiat tersebut perlulah mengikut hukum syarak dan perlu mendapat pengesahan di Mahkamah Tinggi jika ada yang mencabar kesahihan wasiat tersebut.
- Harta Pusaka Berwasiat - Si mati meninggalkan wasiat yang sah dengan menyenaraikan harta yang ditinggalkan serta bahagian yang diberikan kepada waris-waris yang berhak. Namun begitu, sekiranya ada tentangan daripada waris lain, wasiat ini akan terbatal. Bagi yang beragama Islam, si mati boleh mewasiatkan maksimum 1/3 sahaja daripada keseluruhan hartanya kepada bukan waris. Sekiranya lebih daripada 1/3, baki daripada pecahan tersebut perlu mendapat persetujuan daripada waris-waris yang berhak.
- Harta Pusaka Tidak Berwasiat - Si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat. Waris-waris akan menerima agihan mengikut hukum faraid.
Di Malaysia, terdapat tiga akta berbeza untuk mentadbir pelbagai jenis harta pusaka. Akta-akta berikut adalah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98), Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) dan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Agensi yang terlibat adalah Mahkamah Tinggi Sivil,Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Amanah Raya Berhad (ARB).
No comments:
Post a Comment